• [ Isu Semasa ]

  • homepost4

  • homepost2

  • homepost5

  • homepost3

  • homepost6

  • homepost7

Isu Kalimah Allah : Teladanilah Qudwah Rasul SAW semasa Perang Mu'tah



Perang Mu'tah (bahasa Arab: معركة مؤتة , غزوة مؤتة‎) berlaku pada sekitar tahun 629M ketika di akhir kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Ketika ini baginda menghantar tentera seramai 3,000 orang untuk menghadapi tentera Rom Byzantine seramai 200,000 orang tentera.

Tujuan baginda menghantar tentera Islam kerana sebagai tindak balas atas pembunuhan seorang utusan baginda ke wilayah kerajaan Ghassan ketika baginda ingin menyebarkan Islam ke wilayah jajahan Rom.

Ketika ini, baginda melantik tiga orang panglima Islam dengan Zaid ibn Harithah dilantik sebagai ketua panglima, Ja'afar ibn Abi Thalib sebagai ketua panglima sekiranya Zaid terkorban dan Abdullah ibn Rawahah sebagai pengganti Ja'afar sekiranya Ja'afar terkorban.

Pertempuran berlaku di Karak di mana pada hari ini terletak di dalam negara Jordan. Di dalam peperangan ini, ketiga-tiga ketua panglima yang dilantik oleh Nabi terkorban. Apabila kesemua panglima terkorban, Thabit ibn Arqam mengendalikan tentera Islam buat seketika, namun beliau tidak berkehendak untuk memimpin tentera Islam ketika itu.

Setelah beberapa ketika, Thabit mencadangkan Khalid bin al-Walid dilantik sebagai ketua panglima tentera Islam. Perlantikan ini dipersetujui oleh kesemua tentera Islam. Selepas perlantikannya, Khalid bertindak dengan menyelamatkan tentera Islam daripada diasak hebat oleh tentera Rom.

Dengan strategi pertukaran yang dibuat dan susunan tentera secara memanjang ke belakang beserta taktik untuk melakukan keriuhan di barisan belakang, taktik ini berjaya mengelirukan barisan hadapan tentera Byzantine. Hasilnya. Khalid berjaya mengundurkan tentera Islam sedikit demi sedikit tanpa dikejar oleh tentera musuh.

Selepas ini, Khalid bertindak cemerlang dalam memimpin tentera Islam dalam usaha untuk menyebarkan Islam di Parsi dan di dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantine.

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yag beriman jiwa dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh Syurga disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah. Maka di antara mereka ada yang membeunuh dan terbunuh. Balasan Syurga yang demikian ialah sebagai janji yang benar yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? OLeh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan ketahuilah bahawa jualbeli yang seperti itu ialah kemenangan yang besar "

Fakta & Pengajaran
1. Jamadil Awwal sebagaimana bulan-bulan Islam yang lain pernah memahatkan peristiwa bersejarah di mana pada bulan ini telah berlakunya peperangan Mu'tah di Mu'tah yang terletak berhampiran dengan Kota Karak, Jordan. Ia berlaku pada tahun 8H disebabkan pembunuhan Harith bin Umair Al-Azdi yang merupakan utusan yang dihantar oleh Rasulullah S.A.W kepada Raja Busra.

2. Tentera muslimin seramai tiga ribu orang telah dikumpul dalam masa yang singkat untuk keluar berperang di Mu'tah di mana Rasulullah S.A.W tidak turut serta dalam peperangan ini. Daripada tindakan ini dapatlah kita mengambil iktibar yang mana Islam bukanlah agama yang tertegak melalui mata pedang kerana peperangan adalah langkah yang terakhir selepas utusan yang diutuskan untuk menjalankan kerja-kerja dakwah tidak diterima malah dikhianati maka barulah tindakan yang lebih kasar iaitu peperangan boleh dilakukan.

3. Sebelum para tentera muslimin memulakan perjalanan mereka, Rasulullah S.A.W telah memberi arahan dari segi kepimpinan ketika berlakunya peperangan yang mana dimulai dengan Zaid bin Harithah diikuti oleh Ja'afar bin Abi Thalib jika Zaid gugur. Kemudian diganti oleh Abdullah bin Rawahah apabila Ja'afar telah syahid. Jika ketiga-tiganya telah gugur maka para tentera diminta memilih salah seorang yang thiqah atau dipercayai di kalangan mereka untuk memimpin. Amat penting pemilihan dan perlantikan kepimpinan yang mesti dititik beratkan di mana ia mesti disertai dengan amanah oleh pemimpin dan taat serta kepercayaan oleh orang di bawahnya.

4. Rasulullah juga mengingatkan mereka agar tidak terus melancarkan serangan, sebaliknya meminta agar pembunuh utusan dakwah itu ditangkap dan di bawa ke Madinah disamping menyeru kepada penduduk Mu'tah agar beriman terlebih dahulu. Jika seruan itu ditolak maka barulah mereka boleh melancarkan serangan.

5. Baginda turut berpesan agar tidak membunuh kanak-kanak, kaum wanita, orang tua, tidak mengerat pohon kurma dan pokok serta tidak memusnahkan kediaman mereka.Bahkan baginda menyeru agar jangan dirosakkan rumah ibadat dan paderi-paderi didalamnya. Inilah ia keadilan Islam di mana tidak ada erti balas dendam sebaliknya walau pun telah jelas berlakunya kezaliman terhadap utusan dakwah yang dihantar namun usaha untuk menyeru kepada Islam mestilah didahulukan sebelum sesuatu peperangan dilancarkan setelah musuh berdegil dan melawan seruan dakwah itu.

Realiti Hari ini (Tentang isu Kalimah Allah)
Sirah Nabawiyyah adalah mutiara perjalanan mukmin. Ketika Rasulullah menghantar bala Tenteranya 3,000 orang menuju Mu'tah untuk menghadapi Tentera Rom yang menganut Kristian seramai 200,000, baginda memberi beberapa pesanan. Antaranya :

1) Jangan membunuh wanita, orang tua dan kanak-kanak.
2) Jangan tebang pokok dan merobohkan bangunan.
3) Jangan menganggu paderi-paderi di Gereja mereka.


Itulah pesanan Rasulullah di saat menuju medan perang.
Kini, kita di Malaysia berada dalam zon aman, tenteram dan harmoni. Mengapa perlu mengebom Gereja ? Adakah ini ajaran yang diajar oleh Rasulullah kepada umatnya.

Insiden membakar 3 gereja semalam benar-benar memalukan kita sebagai Umat Islam. Ini bukan ajaran Islam. Ini ajaran mereka yang mempunyai perasaan perkauman tanpa mahu menilai dari segi adab dan ajaran Islam. Versinya sama seperti peristiwa memijak kepala lembu. Dulu mereka menghina agama Hindu. Kini menghina ugama Kristian.

Rasulullah juga mengingatkan panglima-panglima Islam di perang Mu'tah agar tidak terus melancarkan serangan, sebaliknya meminta agar pembunuh utusan dakwah itu ditangkap dan di bawa ke Madinah disamping menyeru kepada penduduk Mu'tah agar beriman terlebih dahulu. Jika seruan itu ditolak maka barulah mereka boleh melancarkan serangan.

Keadaannya sama sahaja pada kita hari ini, sebelum apa-apa tindakan yang beremosi berlaku, lakukan dialog antara mereka (pihak kristian) tentang isu ini dan berikan penjelasan tentang perkara-perkara yang boleh menyelamatkan keadaan keharmonian yang berlaku bertitik tolak kepada isu membawa kes penggunaan Kalimah Allah ke makhamah.

Janganlah kerana kebencian kepada kaum itu menyebabkan kita tidak berlaku adil. Ya, tidak berlaku adil dari segi mengawal emosi masyarakat kita.

” Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan akan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap satu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil, hendaklah kamu berlaku adil ( kepada sesiapa jua ) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengatahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan “ . ( Surah Al-Maidah : 8 )


Kemarahan kita yang tidak disusuli dengan tindakan rasional memungkinkan akan menyebabkan segolongan dari masyarakat islam kita yang tidak kuat pegangan dan pengetahuan agama membuat sesuatu tindakan diluar dari ajaran agama kita seperti membakar gereja dan sebagainya. Persoalan kepada demonstrasi semalam yang saya anggap sebagai perang menunjuk rasa (demonstrasi), adakah kita sudah mulakan misi dakwah sejak segelintir pihak kristian yang mengkhianati keharmonian beragama di negara kita dengan membawanya ke makhamah? Cuba bandingkan isu kita hari ini dengan peristiwa perang Mu'tah yang terselit nilai pengajaran terbaik untuk kita pelajari dari qudwah Rasulullah dan para sahabat.

Belajarlah mengambil iktibar dari qudwah rasulullah yang mana Islam bukanlah agama yang tertegak melalui mata pedang kerana peperangan adalah langkah yang terakhir selepas utusan yang diutuskan untuk menjalankan kerja-kerja dakwah tidak diterima malah dikhianati maka barulah tindakan yang lebih kasar iaitu peperangan boleh dilakukan.

Jadi selagi kita tidak berdakwah kepada mereka dengan dialog dan memberi kefahaman kepada mereka, selagi itulah mereka tidak akan faham dan buat-buat tidak faham. Bukan itu sahaja, masyarakat Islam juga perlu diberi kefahaman dan Islam kepada kefahaman mereka kepada pegangan dan ajaran Islam sebenar. Tunjukkanlah Ajaran Islam melalui tidak tanduk dan akhlak kita.

Mengungkap kata Muhammad Iqbal,
“ Sesungguhnya seorang muslim itu tidak diciptakan untuk mengikut gelombang, lalu berjalan menuruti langkah manusia ke mana sahaja mereka berjalan dan berhadap. Tetapi seorang muslim itu diciptakan untuk menghadapi dunia, masyarakat dan peradaban, yang menentukan arah yang wajib dituruti oleh manusia, mendidik dan mengarah kehendak Islam kepada umat manusia kerana mereka punya “risalah”, punyai ilmu yang “yakin”, mereka bertanggungjawab terhadap keselamatan dunia, perjalanan dan arah tujuannya”....


Juga rasanya kita harus sedar dengan semua tindakan kita berasaskan tindakan berstrategi dan bukan beremosi, seperti kata Yusuf Qardhawi tentang semangat di zaman ini,

" Semangat zaman kita ini ialah semangat perancangan. kita tidak boleh membina segala gerakerja berdasarkan emosi dan lantunan perasaan yang dibawa..."
-Dr.Yusof al-Qardhawi


Fakta-Fakta menarik tentang Isu Kalimah Allah (simber :Dr.Dzulkefly Ahmad)

Nota : Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.


1. Penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah "Allah" sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gudwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama "Allah" oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.

2. Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Uluhiyah).

3. Surah Luqman ayat 25 : "Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?", Tentu mereka akan jawab "Allah". Katakanlah "Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui".

4. Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat "Rububiyah"(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Rububiyah).

5. Dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama "Allah" adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism. Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat "persaudaraan agama samawiyat", paling tidaknya. Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau macam suruh cari Tuhan lain pulak. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua ummat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.

6. Allah sebutkan dalam Al-Quran: "....kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri".....Surah Al-Angkabut:46.

7. Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima "Allah", walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita. Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya.

8. Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.

Wallahu a'lam.

penafatih : "sahabat, tika diri kelapangan atau dalam kekangan, AL-ASR punya tafsiran yang tersirat... disaat kehausan kecemerlangan, AL-MUKMINUN formula al-falah yang hebat... Bila jiwa dan hati diasak dan disentak dengan kemenangan musuh Allah, AS-SHOFF mengukuhkan iman di hati lantas bersama di Saff perjuangan".

Filed Under: ,

About the Author

My name is Dinh Quang Huy or known as alias NhamNgaHanh .I made this template in magazine style and named it Simplex Darkness .I hope it helpful to persons who want a solutions for a template in Blogspot.To download this template and see template install instruction ,go to Simplex Design blog.

Leave a Reply